Saturday, June 30, 2007

Selamat Tinggal Gedong Lalang

Mula tahun 1970, hidup baru kami bermula di Port Dickson. Aku bermula di Sekolah Menengah Inggeris, Port Dickson di Remove Class atau Sekolah Peraliahan dari Sekolah Melayu ke Sekolah Aliran Inggeris. Abang Zai telah memberi aku kebebasan untuk memilih sekolah aliran apa pun yang aku suka.

Mulanya aku ingin belajar di sekolah Arab sebab aku minat nak jadi Ustazah tetapi kerana 'geram hati' pada si Faridah dan Rozi yang selalu 'speaking' depan aku bila saja mereka melawat Mak dan Aku, aku telah pilah ke sekolah Inggeris, jadi terpaksalah aku 'rugi' setahun kerana berada di Remove class.

Port Dickson memberi kami angin baru, terutamanya dalam hidup aku yan memulakan hidup sebagai seorang remaja awal 1970. Abang Zai telah beli rumah di Eastern Garden. Oleh kerana bertugas serata tanah air sebagai Anggota Angkatan Tentera Darat dibahagain rekrut, maka selalulah Mak dan Aku sahaja yang tinggal di rumah teres sederhana tiga bilik dan dua bilik air itu.

Rumah ini di bina oleh syarikat swasta di batu 4, Jalan Pantai, Port Dickson. Terlalu dekat dengan laut. Belakangnya ialah Kampung Si Rusa. Hampir tiap bulan, akulah yang akan ke Seremban untuk bayaran ansuran bulanan rumah ini. Ansuran bulanan ini aku bayar ke MBSM atau Malayan Banking pada masa itu, tidaklah aku ingat, maklumlah baru 13 tahun! Hanya yang aku tahu ikut apa yang Abang Zai suruh.

Naik bas Utam Singh, sampai ke bas stesyen Seremban yang berlobong lobang tu, terus ke Bank buat bayaran. Pegawai Cina di Bank tu pun kenal aku, sebab hampir tiap taip bulan lihat 'budak' ni buat bayaran untuk loan abangnya. Jumlah bayaran sebanayak Seratus empat puluh dua ringgit sebulan. Ada sebuah buku nota bayaran yang akan dicatitkan oleh pegawai Cina ini dengan cop syarikat dan tandatangannya.

Yang paling happy ialah bila tugas telah selesai, terus pergi jalan jalan ke kedai kedai di deretan shophouse di Seremban. Masa ini tak ada shopping centre. Bukan ada duit hendak beli apa apa sekadar menjamu mata sahaja, tengok tengok barang barang yang bergantungan di hadapan kedai kedai. Kadang kadang Mak pun ikut sama. Kami akan singgah minum air batu campur atau makan makan di kedai kedai kecil yang ada di keliling stesyen bas Seremban, sebelum pulang dengan bas atau teksi. Tetapi jarang kami naik teksi kerana tambang yang lebih mahal dari tambang bas.

No comments: