Saturday, June 2, 2007

Kekosongan

Aku membersar seperti juga kanak kanak lain disekeliling persekitaraan aku. Dan takdir menentukan Kuala Pilah, Ampangan, Seremban tempat aku membesar bawah usia dua belas tahun. Aku ada ramai kawan kawan sebaya seperti Zubaidah, Aishah, Zainab yang juga jiran sekampung di Gedong Lalang. Tengku Zawyah rakan sekelas begitu juga Rosnaini. Entah apa agaknya jadi pada mereka semua, kami tidaklah menghubungi satu dengan lain.

Seperti juga saudara mara angkat yang ada di antara mereka suka mencemoh aku kerana aku bukan salah seorang yang tulin atau darah daging mereka, rakan rakan sebaya juga ramai yang mengejek-ejek aku. Semuanya budak budak lelaki yang di eja laki laki pada waktu itu. Aku masih ingat dengan jelas anak orang kaya bernama Ghazali, Jaafar dan geng geng mereka akan mengejek ejek aku kerana Anak Cina.

Pakaian sekolah aku masa itu adalah pemberian dari anak anak saudara Mak ia itu sepupu sepupu atau Mak sendiri yang beli kain dan upah atau beli yang dah siap dan sudah tentulah Mak akan cari yang termurah di pasaran kerana kewangan kami yang ketat. Jadi kain sekolah yang di pakai kadang kadang sengkat dan skirt pula labuh. Mereka menggelarkan aku 'Cina Apek" kerana pakaian sekolah ku ini. Sekurang kurangnya inilah yang kawan kawan perempuan aku beritahu aku bila aku selalu mengeloh mengapa Ghazali, Jaafar dan geng gengnya suka menjerit jerit memanggil aku dengan gelaran sedemikian. Kadang kadang tebal juga rasa muka bila dipanggil sedemikian di hadapan kanak kanak lain yang tidak kenal dengan kita.

Seronoknya Ghazali dan Jaafar mengejek ejek aku hinggakan dalam persembahan akhir tahun darjah enam mereka mempamerkan satu lakonan khas buat semua dan sudah tentulah untuk mempersenda dan menyindir aku mereka buat lakonan "Apek dengan Mardina" dari filem Ali Baba Bujang Lapok. Anehnya semua orang tahu, lagu yang dinanyikan dan senda gurau semuanya adalah semata mata untuk menyindir aku! Kalaulah mereka tahu bahawa tahun pertengahan 2000 ini Saiful Apek jadi jutawan hanya dengan lebel Apek pada namanya!

Aku ingat lagi pulang dari persembahan tengah hari itu dengan begitu sedih sekali. Kawan kawan lain riang ria menyambut kedatangan cuti penggal yang panjang. Ramai yang akan balik kampung menziarahi datuk nenek mereka. Aku sugul dan terasa begitu kerdil dipermain mainkan begitu oleh Ghazali dan Jaafar. Guru darjah juga tahu mereka menyindir-yindir aku tetapi sama sama beri mereka lampu hijau buat persembahan seolah olah setuju aku dipermainkan begitu.

Mak bertanya mengapa aku diam saja petang tu bila kami sama sama makan kodok ikan bilis dan minum air teh. Jarang kami minum petang berdua, selalunya Mak hanya akan buat kodok atau jemput jemput bila Abang Zai ada sahaja. Aku ceritakan dengan linangan air mata apa yang terjadi. Mak mengeleng gelengkan kepalanya. "Apa yang dia orang sakit hati dengan kau ni? Bukan dia orang yang kasi kau makan.." Aku terus bertanya Mak seolah olah mencari kepastian "Betul ke Cik ni anak angkat Cina Mak? Aku tahu tetapi masih bertanya, maklumlah masa itu aku baru berusia sebelas tahun.

Mak diam dan menukar topik, katanya makanlah kodok ikan bilis tu cepat cepat nanti sejuk dah tak sedap. Dia kemudian memberitahu aku akan ke rumah Mak Cik Mah, sambil mencapai sekotak Rokok Tembak dan mancis apinya. Mak pesan suruh aku kemas pinggan mangkuk bila sudah habis makan dan minum. Petang itu aku tinggal seorang di rumah, biasanya bila waktu sekolah aku balik Mak memang jarang jarang di rumah. Aku selalu pulang ke rumah yang kosong. Puas juga mencari di rumah jiran mana dia berada, kadang kadang aku berang jugak kerana badan dah penat, baru kena ejek dan bila balik kena cari pula di mana Mak berada. Akhirnya dia tinggalkan saja kunci rumah di rumah jiran sebelah, rumah Nenek Lamah. Jadi tidaklah lagi aku tercari cari di mana dia berada. Hampir Maghrib baru dia balik dan aku telah bersedia pula ke rumah Nenek Salina untuk mengaji.

Selalunya bila habis mengaji aku akan singgah sepuluh lima belas minit di rumah kawan kawan mengaji yang ada television. Masa itu sedikit sahaja orang yang mampu beli tv. Tv pun hitam putih dan waktu siaran pun tidak lama. Aku masih ingat kami suka menonton Batman dan The Saint. Dan tidak lupa Misson Impossible. Hiburan Melayu pun macam Zain Azman dan Kartina Dahari. Tak ramai penghibur Melayu masa itu. Cerita Melayu biasalah cerita cerita P. Ramlee, Cathay Kriss.

Sebenarnya kita perlu tahu asal usul kita. Kepada yang ada ibu bapa itu bersyukurlah seribu syukur. Jika kita tidak tahu asal usul kita, kita akan sentiasa mahu mencari dan mengetahui siapa diri ini yang sebenarnya. Kita akan rasa satu kokosongan dalam jiwa ini. Dan bayangkan diri ini yang sekecil ini sudah tahu diri sebagai anak angkat tidak berapa diterima keluarga angkat seluruhnya dan juga kawan kawan dan segelintir guru sekolah sekampung sendiri.

Tapi apa kan daya, dalam usia sebegitu muda dan tidak mengerti apa apa, kita terima sahaja segala galanya. Tetap senyum dan ketawa bila tiba waktunya, tetap bermain dengan rakan rakan bila petang menjelma dan di ajak mereka, tetap sibuk bila ada kenduri kendara, tetap sama sama membanting tulang kecil menolong apa yang boleh walau pun sekadar mengupas kulit bawang kalau ada kenduri kahwin, tolong basuh pinggan. Hidup diteruskan, tidak ada keluhan atau kesalan hanya rasa sedih kerana penghinaan. Tidak mengerti mengapa ada diskriminasi, dan apa salah diri.

No comments: