Hidup aku sejak lahir di Limbok memang berpindah randah. Semasa Angah dan Mak mengambil aku sejak lahir, Angah seorang guru di Sekolah Cina Jalan Templer, Seremban. Aku masih ingat tinggal di rumah limas Limbok. Arwah Nenek Hindun tinggal di atas manakala Angah dan Mak berserta aku dikatakan 'menyewa' salah satu bilik di bawah belakang rumah. Tetapi kami selalu ke atas bila Nenek Hindun panggil. Kadang kadang bila kesunyian nenek pada waktu itu akan selalu mahu aku sekecil menemai dia. Anak anaknya yang lain seperti Chik Bariah dan Busu Hawa masing masing mengikut suami mereka walaupun sering balik ke Limbok.
Aku masih ingat bila Angah bernikah dengan suaminya. Satu malam sekembalinya Mak dan aku dari Pulau Pinang pertengkaran berlaku antara Mak dengan Abang Ngah. (Hai, baru kahwin dengan anak dara orang dah nak bertengkar pula dengan ibunya!!). Kononnya, Mak Abang Ngah buat kenduri di Rembau meraikan pernikahan mereka tetapi, Mak dan aku berada di Balik Pulau, Pulau Pinang kerana anak sulung Mak, Maheran baru melahirkan puteri pertama, Faridah dan Mak pergi tunggu Kak Long disana. Sudah tentulah aku diheret bersama.
Setelah berlaku pertengkaran kecil, kononnya Abang Ngah 'malu' kerana Mak tidak ada dikenduri. Mak terus mengheret aku keluar dari rumah sewa di Rahang naik bas penghabisan malam itu ke Limbok. Jelas di ingatan bagaimana aku berlari lari rang dalam bas kerana bas kosong dan mak memarahi aku dan suruh aku duduk. Kami tiba di Limbok malam malam buta itu tetapi sebentar kemudian bunyi pintuk diketuk, rupa rupanya penggantin baru suami isteri menyusuri Mak dan aku!! Agaknya menyesal kerana pertengkaran kecil itu.
Kemudian aku duduk di Tampin dan Kuala Pilah. Mak dan aku tinggal dengan Angah. Mak menolong Angah menguruskan anak anaknya yang lahir setahun seorang itu. Tetapi Aku mula ke sekolah semasa kami di Seremban. Aku masuk kelas satu dua kali. Ini kerana pada masa itu tidak ada tadika. Aku menangis siang malam mahu ke sekolah. Mak pergi jumpa Cik gu Rashid, abang ipar menantu sulungnya yang kebetualan penolong guru besar di Sekolah Kebangasaan Ampangan. Cik gu Rashid kata aku boleh masuk kelas satu tapi tidak ada rekod rasmi aku sebagai murid di kelas dan sekolah itu.. Mak kata tak apalah asalkan aku bersekolah. Bila awal tahun seterusnya kawan kawan melangkah ke kelas dua tapi aku masuk balik kelas satu. Aku tidak kisah sebab asalkan aku bersekolah dan sangat suka belajar.
Kemudian kami pindah semula ke Sawah Lebar, Kuala Pilah. Di sini aku bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah A. Tiap pagi Abang Ngah akan menghantar aku kesekolah dengan basikalnya. Dia akan bersiul siul sambil mengayuh basikal dan aku duduk di atas palang basikal. Abang Ngah akan bertanya siapa nama cik gu baju kuning tu? siapa pula nama Cik gu berkebaya biru ini? Semua Cik gu muda jelita belaka, tapi berpesan supaya aku tak cerita pada Angah!! Masih terasa aku segarnya embun yang menipis pipi kecil setiap pagi semasa atas basikal. Begitu juga boleh dirasa segarnya embun bila berjalan kaki kalau tidak menumpang Abang Ngah dengan basikalnya.
Sekolah di Kuala Pilah seronok juga. Guru guru baik baik belaka. Lauk di kantin sekolah pun sedap sedap. Yang masih aku ingat ialah mee goreng bercili dan cucur udang Pak Cik Kantin tu. Mee goreng bercili memang bergoreng dengan cili dan tidak ada lain, tidak ada udang disebalik mee, kalau nak udang dan bernasib baik mungkin bila makan cucur udang terjumpalah sekali sekala udangnya! Masa itu pun masa Air Krim Malaysia. Ramai suri rumah buat air krim Malaysia dan kami akan beli bila sekolah tamat. Kami tahu rumah mana dan siapa yang jual dan apa pula jenis air krimnya. Ada ais krim milo, jagung, asam masin, sirap dan selalunya aku akan cuba habiskan ais krim ini sebelum sampai ke rumah bila habis kelas tengahari, kalau tidak akan kecohlah rumah dan berebut rebut.
Kenangan manis di Sawah Lebarnya ialah kerana Lebarnya Sawah yang menghijau dan Menguning!! Bila balik dari sekolah, anak anak lelaki akan mula menangkap ikan laga lagi dari petak petak sawah. Cantik ikan laga laga ini macam macam warna. Yang lain akan ada spider atau labah labah kecil dalam kotak kotak mancis mereka. Ada yang bawa lastik ke sekolah, guli guli dan yang perempuan bawa anak anak patung yang di buat sendiri oleh emak emak mereka dirumah. Tidak ramai kami yang mampu punyai mainan yang dibeli. Kalau ada boleh sepak atau bola raga pun kami kongsi main ramai ramai.
Kemudian kami berpindah rumah pula ke Melang, Kuala Pilah. Apa sebab nya tidaklah aku ketahui sampai sekarang. Aku ikut saja. Di sini aku masih ingat beberapa perkara. Pertamanya ialah aku mula mengaji dengan seorang Ustaz yang tidak aku ketahui namanya kerana kami kanak kanak kecil tidaklah sesuka hati boleh bertanya itu ini pada waktu ini. Jadi kami kenali dia sebagai Ustaz sahaja. Dia akan datang kerumah mengajar aku mengaji dengan Marizan dan Nasir. Kadang kadang dia juga ajar kami nanyi lagu Arab. Ustaz ini tempang. Semoga Allah sahaja yang membalas budi baik Ustaz dunia dan akhirat.
Perkara kedua semasa di sini ialah penggunaan tong najis. Masa ini tidak ada jamban pam. Jamban jamban semua di luar rumah. Tiap tiap pagi sebelum matahari terbit lagi, akan lalu lori lori najis yang orang panggil 'Lori tahi". Jadi jika ke tandas kena berhati hati terutamanya bila subuh hari, ini kerana kita bimbang bila berada dan sedang melepaskan hajat semasa tong najis di tarik keluar dan diganti pula dengan tong baru!! Pernah aku baru naik tangga jamban, tiba tiba tak jadi nak tunai hajat kerana ternampak tangan yang mengangkut tong najis keluar. Yang tidak sihatnya ialah bau najis yang terpaksa di simpan dalam tong hingga keesok paginya baru di ganti tong baru! Bayangkanlah!
Perkara ketiga yang menjadi ingatku di Melang, Kuala Pilah ini ialah mulanya Abang Ngah ada kereta. Ia itu kereta Volkswagen. Kami tentulah terlalu gembira bila ada kereta. Maklumlah budak budak kecil dan masa tu tidak ramai orang yang ada kereta. Abang Ngah ini ada lesen atau tidak bawa kereta tidaklah aku tahu atau berapa lama berpengalaman memandu. Tetapi aku tidak akan lupa bagaimana dia pandu di Bukit Putus Kuala Pilah dan kereta terbabas nyaris nyaris kami semua terjatuh ke gaung! Maklumlah Bukit Putus.
Keempatnya, di Melang Kuala Pilah ini jugalah kenangan pahit manis aku bersama dengan anak anak Angah yang lain terpahat. Ia, mungkin terpahat diingatan aku seorang sekarang ini. Maklumlah siapalah aku ini, kira kira pula aku ini mak saudara angkat sahaja. Aku selalu tolong Angah jaga, Nasir, Duan dan Ina. Marizan yang sulung pun sama samalah buat kerja rumah dan jaga budak budak. Rumahtangga Angah ini selalu ribut. Maklumlah orang Muda, gaji kecil, anak ramai, ada pula mak mertua dan adik angkat yang tumpang walaupun aku tahu Abang Zai pun sama sama tolong bagi wang buat belanja mak dan aku.
Kelimanya di sini jugalah masanya Abang Zai ditugaskan berkhidmat ke Congo. Abang Zai yang telah meninggal dunia kira kira sepuluh tahun lalu, seorang ashkar. Aku masih ingat betapa besarnya kapal kapal yang mengangkut semua Askhar Melayu ke Congo di Port Sweethanam atau sekarang Port Klang. Kami naik bot kecil, menangis terisak isak melihat kapal kapal yang serba hijau meninggalkan kami. Lambaian kami kepada kesemua mereka.
Keenamnya di sini juga penamatnya aku tinggal sebumbung dengan Angah, Marizan, Nasir, Duan dan Ina kerana selepas ini terjadi satu pertengkaran antara Mak dan Abang Ngah. Ini kerana Mak tak tahan lihat Abang Ngah memukul Nasir. Nasir cucu kesayangan Mak. Mak dengan aku dan buntil buntil kami ke Port Dickson, mencari Abang Zai yang masa itu dah balik dari Congo dan bekerja di Garrison. Kami tak tahu bagaimana nak cari Abang Zai, jadi kami ke rumah Abang Ayob kawan Abang Zai. Dari sinilah bermulanya Abang Zai carikan aku dan Mak rumah sewa di Gedong Lalang Seremban. Tiap tiap hari Sabtu dan Ahad atau bila cuti sahaja dia akan balik ke Seremban. Angah dan anak anak masih tinggal di Melang tetapi selepas itu berpindah pula ke Bahau.
Mula mula terpisah aku amat merindui Marizan dan Angah. Sedih bersendirian dengan Mak sahaja. Dan Mak pula yang jenis tidak suka di rumah. Dia lebih selesa bertandang kerumah rumah jiran. Tetapi lepas itu mereka selalu datang ke Seremban terutama bila cuti sekolah. Jiran jiran Mak di Gedong Lalang akan berbisik "Hai tak malunya menantu Kak Ngah ini (Mak) gaduh dengan mertua tapi bila cuti sekolah lambak anak anak semua di sini.." Biasalah mulut orang, tetapi kami riang dapat berkumpul semula.
Saturday, June 2, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment