Semasa aku membesar di Gedong Lalang di sekitar lewat tahun enam puluhan, satu perkara yang nyata bagi masyarakat Melayu yang aku pasti adalah Majlis Kahwin. Orang Melayu pada masa itu sudah dikira moden kerana ramai juga pasangan pasangan yang berkahwin kerana suka sama suka. Orang Melayu cakap beralas. Mereka tidak akan cakap cinta sama cinta.
Bagi kami kanak kanak, apa yang paling mengembirakan pada kenduri kenduri kahwin adalah dapat makan ayam dan daging sebanyak banyaknya dan juga nasi minyak. Masa itu tidak ada langsung Nasi Beryani. Semua nasi minyak belaka. Maknanya kami dapat jamu selera dengan makanan yang sedap sedap. Rata rata orang Melayu masa itu tidak senang dan memang makan ayam dan daging itu satu kemewahan!
Aku masih ingat bagaimana aku sendiri membela ayam. Di belakang rumah ada reban ayam. Aku akan gembira bila anak anak ayam yang aku beli dari pasar Seremban semakin membesar dan mula mengeram. Aku akan carikan kotak dan pastikan dia bertelur dalam kotak dan tidak merata rata dicelah celah bangsal rumah orang lain. Apa yang aku pelajari dari memebela ayam ayam ini adalah bahayanya hama ayam. Hama hama ini boleh menggatalkan badan kita. Jadi reban ayam mestilah bersih, tahi tahi ayam juga mesti tidak boleh dibiarkan terlalu banyak dalam reban. Yang sedihnya bila bela ayam sendiri ialah bila ada yang mati terutamanya anak anak yang membesar, kadang kadang dimakan kucing jiranlah, terlanggar kereta atau motorlah. Dan sedih juga bila hendak menangkapnya untuk disembelih oleh Abang Zai. Tetapi apa boleh buat, jika tak disembelih tak merasa pula makan daging ayam, nak beli tak mampu pula.
Aku memang rajin. Aku ada sifat Orang China yang rata rata lain dari budak budak Melayu lain. Aku tidak suka duduk diam buang masa atau berborak kosong. Di hadapan rumah teres ada tanah kosong betul betul sekangkang kera dan aku tanam macam macam di atasnya! Semua sayuran yang senang senang tumbuh. Kangkung, pokok cilli, terung, serai, pandan dan aku bangga bila ada Mak Cik jiran jiran sebelah rumah datang minta sepotong serai atau daun pandan.
Mungkin budak budak sekarang pandang jijik pada tahi lembu. Tetapi pada waktu itu, aku akan mengaut tahi lembu yang bertaburan di atas jalan raya di depan rumah untuk dibuat baja. Baja baja asli ini Mak gunakan juga untuk pokok pokok bunganya. Mak rajin tanam Pokok Bunga Geramin, keladi dan mereka memang tumbuh menghijau!
Dan satu lagi haiwan yang aku bela dan tidak pernah tak bela dari kecil ialah kuching. Aku sangat sayang pada kuching. Kuching kuching dahulu semuanya makan nasi dengan lauk lebihan apa yang kami makan. Tidak ada biskut. Aku serasi dengan kuching. Macam macam kuching telah aku bela hinggalah sekarang.
Berbalik pada kenduri orang Melayu pada waktu ini kami budak budak juga amat gembira bila ada orang buat kenduri kahwin kerana selalunya akan ada pancaragam. Pancaragam ini selalunya dimainkan oleh anak anak kampung atau bagi mereka yang berada akan diundang pancaragam yang professional. Kami akan berkumpul di bawah kemah terpeggun dengan persembahan mereka. Kadang kadang ada juga kakak dan abang abang jiran tetangga yang pandai menyanyi khas untuk penggantin baru.
Kenduri kahwin dulu dulu tidak ada katering langsung. Semuanya gotong royong. Orang Kampung sama sama datang tolong dari semula kupus kulit bawang, hiris bawang, timun, nenas, pilih beras, rebus telur ayam, semuanya gotong royong. Kemeriahan amat jelas sekali. Jika seseorang dari ahli keluarga akan berkahwin yang lain akan datang seawal seminggu sebelum majils kerana sama sama mahu membantu apa yang boleh. Kemesraan jelas terbayang bagi ahli keluarga dan sanak saudara yang dapat berkumpul di kenduri kenduri sebegini.
Sunday, June 3, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment