Aku memang mengalami beberapa penyakit semasa kecil dan rata rata adalah kerana kurangnya penjagaan rapi pada kebersihan dan kesihatan diri. Aku faham, ibu angkat aku buta huruf, tidak minat dengan apa apa atau akan perkembangan diri ini. Bagi dia sudah ada makan, pakaian, pergi sekolah dan mengaji macam budak lain sudah dikira OK lah. Asalkan berasap rokok tembak di bibirnya sudah memadailah baginya. Aku pun tak ingat bila dia berhenti makan sireh, mungkin bila melangkah ke akhir enam puluhan trend makan sireh ini semakin pupus di kalangan wanita Melayu.
Semasa belum sekolah lagi aku dibiarkan bermain di luar rumah sewa Abang Ngah dan Angah di Seremban, berkaki ayam. Kebersihan seperti gosok gigi atau sikat rambut semua sepatutnya aku tahu sendiri. Berkaki ayam di keliling rumah membawa risko cacing. Biasanya kami kanak kanak masa itu selalu diberi ubat cacing. Jadi bila buang air besar akan adalah cacaing yang keluar sama! Tetapi keadaan pada masa itu menjadi semacam perkara biasa sahaja kanak kanak ada cacing.
Aku juga pernah kena kayap di kepala. Sakitnya bukan main, rambut di cukur, seluruh kepala berkudis hingga aku terpaksa duduk dengan Mak di rumah Pak Cik Bachik dan isterinya Mak Cik Zainab di Bukit Temiang. Masih aku ingat, rumah papan atas bukit yang belakangnya kebun getah dan hutan kecil. Aku hanya boleh makan ikan parang masak pindang serani atau ikan bilis sup dengan asam jawa. Yang lain semua pantang kerana akan menambahkan gatal di kudis kepala yang telah pun berair! Bila malam hendak tidur bantal kepala di alas dengan good morning towel supaya kudis tidak melekat dan air yang keluar dari kudis tidak menggotorkan sarung bantaul Mak Cik Zainab.
Pak Cik Bachik dan Mak Cik Zainab, kawan lama Mak sejak sebelum zaman Jepun. Mereka pasangan yang begitu baik sekali. Mereka juga ada anak angkat Cina macam aku, namanya Kak Asiah. Suami Kak Asiah aku ingat seorang tukang kebun di sebuah sekolah di Seremban. Pak Cik Bachik bekerja sebagai tukang sembeliah ayam di pasar besar Seremban pada masa itu. Tiap taip pagi dia akan lalu hadapan rumah limbok mengayuh basikal ke pasar, kadang kadang dia singgah untuk berbual atau minum teh dengan mak dan yang lainnya. Aku tak mungkin lupa akan jasa baik mereka sekeluarga, menerima aku di saat tiada siapa mahu menerima seorang budak miskin, kepala berkayap pulak tu! Mak Cik Zainab akan pergi ke hutan, cari akar akar kayu dan daun daun buat ubat kayap di kepala aku. Setelah sembuh aku dan mak pulang se Gedong Lalang. Aku masih ingat di report kad aku, aku tidak ke sekolah selama sepenggal!
Peristiwa aku sakit gigi pun tidak mungkin boleh aku lupa sampai bila bila. Di sekolah, ada pasukan Kelinik gigi kerajaan datang dari masa ke semasa dan sekarang baru aku faham kenapa aku sahaja yang kena panggil! Kerana penjagaan kiri yang kurang memuaskan! Gigi aku sering di tampal dan Alhamdulillah ada yang kekal tampalnya hingga sekarang! Satu hari aku sakit gigi semasa cuti sekolah. Pipi aku bengkak sebelah dan memang sakit teramat hingga malam tak boleh tidur. Esoknya Mak bawa aku ke kelinik gigi kerajaan di Seremban.
Kami tunggu dan tunggu hingga semua persakit balik dan kelink hendak tutup. Dalam aku kesakitan, aku beranikan diri bertanya pada Jururawat bertugas mengapa aku tidak dipanggil. Dia tanya siapa nama aku, Aku katakanlah "Azizah". Dia lihat pada kad pendaftaran dan tunjuk pada aku yang ada padanya tinggallah kad buat "Hamimah". Dan dia telah menjeri jerit memanggil "Hamimah! Hamimah!" beberapa kali tetapi tidak siapa yang muncul.
Barulah kami faham kerana Mak telah memberitahu mereka nama aku Hamimah iaitu nama panggilan mereka terhadap aku di rumah, ia itu Nama tidak rasmi! Jadi, aku tunggu Azizah yang dipanggil sebab dalam rekod nama aku adalah Azizah!! Dan Mak pun tak perasan atau tidak peduli bila nama Hamimah dipanggil! Aku pula bila terlalu sakit gigi tertidur! Akhirnya jururawat yang simpati bawa juga aku berjumpa Doktor gigi. Gigi aku tidak dicabut kerana aku demam dan pipi kembong sebelah kerana bengkak. Aku diberi ubat dan disuruh datang semula untuk cabut gigi bila pipi tak bengkak lagi.
Wednesday, June 6, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment