Friday, June 1, 2007

Anak Cha Ya Nun Alif

Sejak kecil lagi aku tahu memang aku anak angkat Cina. Tidak perlu banyak bukti bahawa aku bukan salah seorang anggota keluarga besar angkat aku. Ejekan demi ejekan dari menantu sulung lelaki Mak angkat setiap kali mereka datang mengunjungi kami di Gedong Lalang, Ampangan mengesahkan yang sebenarnya.

"Hai anak Cha Ya Nun Alif...ha ha ha........Anak Cina Maklap!!. Entah apa yang lucu pada diri aku ini padanya sehingga sanggup seorang dewasa beranak dua mengejek ejek seorang budak di sekolah rendah sebegitu!! Ejekan ejekan itu dengan kuat pula di hadapan kedua dua puteri kesayangan yang cuma jarak umur kami hanya sekitar dua ke empat tahun. Seingat aku semasa itu aku di Sekolah Rendah Ampangan, Seremban. Isteri kesayangannya atau pun sepatutnya Kakak angkat aku yang sulung aku tersenyum sinis memandang pada aku, begitu juga kedua puteri dan kadang kadang anak buah perempuannya yang sering bersama kemana saja dengan mereka.

Hati kecil aku begitu terguris dengan ejekan ejekannya. Aku sering menangis bila hendak tidur waktu malam walau pun mereka telah lama pulang tengah harinya. Aku sedih dan tidak suka diperbuatkan sedemikian. Pada suatu hari aku baru habis solat zohor bila mereka datang. Tidak terperi gembiranya aku dengan kain telekong yang pertama aku pakai setelah belajar solat dengan nenek mengaji. Bila terlihat sahaja aku bertelekung sambil bersalam dengan mereka, dia terus menegur."Nak jadi Ustazah ke anak Cha Ya Nun Alif ni..ha hah ha..!

Malam itu juga aku merayu pada Mak supaya menegur perbuatan menantunya itu. Dengan linangan air mata aku masih ingat berkata pada Mak "Mak, tolonglah cakap dengan Abang Long tu, jangan lah ejek ejek Cik (kami menggelar diri kami masing masing - Cik). Cik tak suka lah Mak. Malu. Dan orang lain pun dengar..." Mak terdiam dan aku masih ingat bila mereka datang sekali lagi Mak telah berkata kepada menantunya."Tak usahlah kau ejek ejek dia macam tu lagi Ali, kecil hati dia dan malu dia, dia pun dah besar..kenapa yang kau nak buat dia macam tu?"

Sejak itu dia tidak lagi menegur aku. Kami pun terlalu jauh perbezaan usia. Maklumlah dia seorang bapa beranak dua aku budak sekolah rendah!Aku dapat tahu beberapa tahun lalu, nama emak yang melahirkan aku ialah Yap Yu Moi. Kemiskinan memaksa Mak aku menyuruh Ah Soh ia itu mak Moi Moi mencarikan sesiapa yang hendakkan bayi perempuan Cina yang baru lahir, iaitu sepulu hari seleas negara kita mencapai kemerdekaan nya.

Mak angkat aku, seorang janda berhias, anak anaknya sendiri lima orang semua sudah dewasa belaka. Dia kesunyian dan mahukan seseorang menemankan dia buat hari tuanya. Jadi dia dan Angah anak perempuannya yang kedua bersetuju mengambil aku. Dengar ceritanya dia membayar sedikit wang ubat bersalin kepada Mak aku dan sedikit wang sagu hati dan kain persalinan sebagai tanda mata.

Maka Melayulah aku. Memang telah tersurat di Loh Mahfuz bahawa walaupun lahir dari perut seorang wanita Cina bapa Cina, tapi takdir mahu aku jadi Melayu. Keluarga angkat aku tidak kuat agama. Tidak ramai yang solat. Tapi takdir juga mengatasi segala galanya. Sejak sekolah rendah aku amat gemar mengaji, ke surau berjemaah dengan para jemaah wanita yang rata rata semua aku panggil nenek nenek atau mak cik mak cik! Mak angkat aku tidak pernah ke surau.

Aku sendiri yang berjumpa dengan Nenek Salina, guru mengaji di Gedong Lalang pada masa itu. Aku masih ingat nenek bertanya. "Kau anak siapa? Siapa Mak kau..bapa kau? Mereka tahu ke kau nak mengaji disini? Aku gembira sekali bila diterima mengaji. Ramai kanak kanak sebaya aku yang mengaji. Malam Jumaat kami akan belajar Sembahyang. Seronok sekali. Bila Sabtu dan Ahad tidak mengaji aku akan ke Surau.

No comments: