Saturday, June 2, 2007

Gedong Lalang

Gedong Lalang di pertengahan enam puluhan adalah macam perkampungan Melayu yang lainnya di tanah air. Sekolah Kebangsaan Ampangan tidak jauh dari Gedong Lalang dan hanya sekitar lima belas minit berjalan kaki sahaja ke sana. Rumah di Gedong Lalang adalah rumah murah, rancangan Kerajaan Negeri bagi membolehkan orang Melayu punyi rumah mereka sendiri.

Abang Zai telah menyewa sebuah rumah teres dua bilik dari orang Kelantan Cik Mek untuk kami berdua dengan sewa lima puluh ringgit sebulan. Tapi Abang Zai tetap bekerja di Port Dickson dan pulang hanya hujung minggu sahaja. Rumah ini selesa untuk kami dan aku gembira sekali kerana jiran jiran baik baik belaka. Kami sama sama bukanlah orang senang kerana rata rata orang Melayu semuanya tidak ramai yang senang mana pun. Ada juga orang Minang yang punyi rumah berdekatan rumah teres kami. Mereka penghuni rumah Congo atau rumah papan dua bilik tapi ada laman. Macam jenis rumah banglo lah dalam istilah sekarang.

Mula mula kami sewa rumah dari seorang Minang di rumah Congo tapi bila dia hendak duduk di rumahnya sendiri Abang Zai bawa kami di rumah sewaan dari Cik Mek pula. Seperti kampung Melayu lainnya, Gedong Lalang juga persekitarannya seratus peratus Melayu. Bulan Ramadan yang paling meriah dengan aktiviti morehnaya tarawih dan tadarus beramai ramai.

Aku selalu bertugas untuk mengejutkan jiran jiran untuk bersyahur. Masa itu tidak semua orang ada jam loceng. Aku akan pergi dari rumah ke rumah mengetuk pintu dapur untuk mereka bangun. Dan kadang kadang bila kami pula terlambat mereka pula akan mengetuk pintu dapur kami! Untuk buka puasa banyak lauk dan juadah bertukar tangan. Buat satu juadah Bubur kacang saja, hantar ke rumah jiran jiran, bila hampir waktu buka puasa, akan penuh di atas kain seperah kuih muih dan lauk pauk! Kami makan di lantai yang di alasa dengan kair seperah. Tidak ada meja makan.

Menjelang raya jangan cerita lagi lah. Kalau jalan ke mana mana mesti bau wangi kueh raya dan kek di mana mana macam ada perlumbaan siapa banyak buat kueh. Langsir rumah mesti ditukar, kusion kerusi dan baju adalah kemestian! Malam raya paling meriah dengan semua rumah bermandikan cahaya lampu minyak tanah dan kanak kanak bermain bunga api, meriam buluh bagi kanak kanak besar dan orang orang bujang. Sana sini suri rumah macam rendang di belakang rumah masing masing pakai kayu api sebab dapur rumah kecil. Suasana amat meriah sekali tentu meriah lagi lah bagi kami kanak kanak pada waktu itu!

Malam raya juga Abang Zai dan Mak tidak tidur sampai pagi. Abang Zai seorang yang cermat, pembersih dan pandai hias rumah macam perempuan. Rumah kami bersih sekali untuk menyambut Syawall. Hari raya biasalah rumah akan penuh. Menantu Mak yang sulung dengan isteri dan anak anak mereka akan singgah ke rumah Gedong Lalang setelah tidur di rumah emaknya di Seremban atau di Linggi. Abang Ngah, Angah dan anak anak juga akan datang dari Rembau. Anak anak buah Mak dan adik adiknya juga akan datang. Dari pagi hingga malam, tidak henti henti ada tetamu. Mak riang kerana banyak dapat duit rokok dari anak anak buahnya. Aku juga tumpang riang kerana dapat duit raya.

Kemudian kami pula akan menziarahi mereka. Mak akan bawa aku ke mana saja. Raya atau tak raya dia selalu bawa aku ke rumah saudaranya, ia itu ke rumah rasmi MB N Sembilan waktu itu. Mak Ngah Jah, isteri MB baik sekali. Walau sibuk atau tak ada mood pun dia layan juga mak. Kadang kadang aku di belikan baju dan kain dan yang paling tidak aku lupa sampai bila bila ialah bila Mak Ngah Jah belikan aku sehelai kain songket hitam (Songket sikit sikit yang berpetak petak bukan songket penuh) siap dengan sehelai baju putih berbunga merah!!

Tidak terkira gembiranya aku dengan hadiah yang termahal pernah aku terima dari sesiapa!! Mak Ngah Jah walaupun seorang kaya, isteri MB dan sibuk tidak pernah sekali pun menghina aku atau menunjukkan tanda tanda benci sikit pun pada aku. Bila nampak saja aku dia akan tanya "Mimah, kau dah makan?... tolong beri budak ni makan.." Katanya kepada pembantu pembantunya. Semoga Allah swt akan mencucuri Roh Mak Ngah Jah dengan Rahmatnya kerana kebaikannya pada ku seketika ramai sangat yang benci padaku.

Satu lagi rumah yang Mak suka berkunjung ialah ke rumah Abang Hamzah. Anak buahnya. Mak Abang Hamzah, Mak Besar adalah Kakak Mak. Abang Hamzah seorang Majistret. Dia anak orang kaya, bapanya orang Klang juga seorang Majisteret. Abang Hamzah belajar di England dan cara hidup orang England di bawa pulang bersamanya ketika itu. Aku tidak setuju dengan cara dia hidup. Membujang tidak berkahwin, dia bela anjing dan anjing itu beranatai emas! Ada katik kecil untuk anjing dia. Aku akan terlalu takut untuk mendekati anjingnya dan tidak mahu disentuh angjinnya kerana aku tahu ianya haram. Ya, aku belum lagi ke sekolah menengah tapi aku tahu dan akur halal haram.

Satu lagi yang aku tak suka ialah di rumah Abang Hamzah ini ada bar. Dia selalu minum minuman keras dan aku tak suka tapi apa akan daya? Kadang kadang aku lihat Mak pun minum dengan dia. Sungguh aku benci dengan perbuatan mereka ini. Bila mereka berbual bual aku akan bermain di luar atau pergi ke dapur jumpa orang gajinya. Abang Hamzah juga tidak berapa suka dengan aku, mungkin kerana dia tahu aku benci anjingnya dan perbuatannya minum minuman keras.

Selalunya kami akan di hantar pulang ke Gedong Lalang oleh pemandu Abang Hamzah. Abang Hamzah akan beri Mak wang, maklumlah mak saudaranya. Aku riang juga sebab bila mak bagi duit aku akan beli pensel warna atau kotak pensel baru. Beberapa bulan kemudian kami dapat berita Abang Hamzah sakit tenat. Dia dimasukkan ke wad ICU di Hospital Johor Baru. Mak dan aku menumpang kereta saudara ke JB. Beberapa bulan kemudian Abang Hamzah meninggal dunia dan jenazahnya di kebumikan di Tanah Perkuburan Maqam Mohd Said di Jalan Channer. Aku masih ingat di hari pengkebumiannya, Menteri Undang Undang Tan Sri Abdul Kadir datang memberi penghormatan terakhir.

Aku juga tidak lupa, salah seorang saudara perempuan mak buat teguran "Oh budak ni pun ada juga.." sambil memandang pada aku. Ia lah aku ikut Mak, lagi pun Abang Hamzah agak rapat dengan kami tanpa mereka ketahui. Macam mak, aku pun sedih dengan kematian Abang Hamzah, masih bujang dan aku terlalu muda untuk tahu dan faham apa terjadi sebenarnya kepada Abang Hamzah atau apa pun penyakit yang menyebabkan kematiannya. Mungkin sudah ajalnya.

No comments: