Satu peristiwa yang tertulis di dalam kami meniti tali persahabatan dan sebagai jiran dengan Uncle dan Aunty Peter ialah semasa aku di tingkatan lima dan ada rakan sedarjah aku yang bernama Jayalailitha yang ingin menukar agamanya dari Hindu ke Christian. Jayalailitha atau nama singkatannya Jaya mengatakan pada aku bahawa dia keliru dengan ajaran agamanya yang terlalu banyak tuhan sebab itulah sudah lama mahu menukar pegangan agamanya.
Satu petang aku pun membawa Jaya berjumpa dengan Uncle Peter. Memang mudah sebab aku tahu sangat rutin Uncle dan Aunty Peter, bila pukul 4.oo ptg mereka duduk minum teh di ruang tamu. Uncle Peter dan Aunty memang baik dan tidak lah menolak atau tidak mahu menerima kedatangan Jaya bersama aku pula. Jaya pun terus menceritakan pada kedua mereka akan hasratnya ingin menukar pegangan agamanya dan amat berharap Uncle dan Aunty Peter dapat menolongnya. Ini memandangkan dari cerita cerita aku bahawa Keluarga Peter ini Christian yang kuat atau alim dalam Agama mereka dan mereka ada ramai kenalan di gereja gereja di Port Dickson atau Seremban.
Dengan tenang Uncle Peter menasihatkan Jaya supaya menunggu sahaja sehingga dia mencapai ke usia 21 tahun sebelum dia membuat keputusan untuk keluar dari agama Hindunya!! Ini kerana mengikut Uncle Peter, di usia melangkah ke 18 tahun, Jaya masih dalam jagaan keluarganya, belum matang, belum ada pendapatan sendiri dan perbuatannya sekarang hanya akan mengundang berbagai masalah peribadi. Jaya akan menghancurkan hati dan harapan ibu bapanya, dan menjadi anak yang derhaka!!
Di dalam hati aku amat terkejut sekali. Dalam usia aku juga pada masa itu melangkah ke 18 tahun aku terlalu mentah dengan soal hidup yang sebenar. Aku silap. Aku sangka tentulah Uncle dan Aunty Peter akan gembira bila Jaya menyatakan hasratnya untuk menukar ke agamanya dan akan terus membawanya ke gereja atau sekurang kurangnya akan membuat dua tiga panggilan telefon kepada kuncu kuncunya!! Betapa aku salah anggap pada mereka.
Uncle dan Aunty Peter adalah ibu bapa yang sebenarnya..dia faham apa erti menjadi ibu bapa dan dapat membayangkan apa akan terjadi jika Jayalailitha terburu buru dalam menukar pegangan agamanya. Memang benar kata kata nasihatnya, Jaya masih dalam penjagaan dan pembiayaan keluarganya, akan hancur lebur hati ibu bapanya dan tentulah Uncle dan Aunty akan terseret dalam kancah ini, silap haribulan aku pun kena!
Monday, July 2, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment