Monday, July 2, 2007

Jo, Ben dan aku..

Kenangan bersama Joseph dengan Benjamin, atau nama ringkas kami panggil mereka, Jo dan Ben dan seluruh keluarga Peter tidak mungkin terhakis begitu sahaja dari ingatan aku. Mahu tidak mahu, suka atau tidak, mereka merupakan sebahagian dari mereka mereka yang hadir dalam hidup aku semasa remaja sehinggalah aku bertunang dan berhijah ke Kuala Lumpur pada usia yang begitu muda, 19 tahun ...

Bilik aku dan bilik Jo dan Ben bersebelahan, kami ada 'kod' khas kalau nak jumpa di luar rumah. Bukannya apa, kadang kadang kami tidak mahu mengganggu Mak atau Abang Zai yang menonton TV di ruang tamu atau Uncle dan Aunty Peter yang sering duduk duduk mendengar lagu atau berbual bual juga di ruang tamu rumah mereka jika hendak panggil satu sama lain.

Jadi bila kami dengar kod kod tertentu kami tahu apa nak buat. Satu ketukan bermakna Selamat Malam atau Selamat Pagi, jika dua ketukan di dinding bermakna kami akan keluar dan berjumpa di luar tempat letak kereta Uncle Peter dan Abang Zai. Kalau tiga ketukan bermakna ada seseorang di luar dan kami malas nak layan, jadi tolong katakan kami saja kami tak ada di rumah atau apa juga alasan!

Keluarga Peter sangat alim. Mereka telah menganut Kristian Protestant sejak 500 ratus tahun dalam keturunan mereka yang sudah tentu bersusur galur dari Madras, India. Nama penuhnya Paul Peter. Tiap Ahad Uncle dan Aunty Peter pasti akan ke gereja di Jalan Seremban, dekat bandar Port Dickson. Jarang benar mereka tidak pergi. Bila Christmas rumah mereka akan hiruk pikuk dengan begitu ramai anak anak cucu yang balik menziarah dan sudah tentu aku pun turut sibuk sama. Sesuatu yang menarik mengenai mereka ni, yang kami perhatikan ialah mereka tidak makan daging babi atau minum arak.

Disinilah aku belajar banyak cara hidup orang Kristian, sekurang kurangnya dari keluara Uncle dan Aunty Peter, jiran sebelah rumah. Malah kadang kadang jika aku ikut Uncle ke Seremban, (Abang Zai tak ada dan aku malas nak naik Bas Utam Singh yang siksa dan lebih perlahan dari kura kura tua tu), jika dia singgah di Gereja di belakang KGV Seremban, aku pun turun sama dan sempat berkawan dengan salah seorang bakal padri muda, seorang pemuda kacak Cina bernama Kelvin.

Mereka orang Christian ada Christmas Carol di mana mereka akan datang ke rumah rumah dan menyayikan lagu lagu agama mereka beramai ramai. Macam kita bertakbir raya dari rumah ke rumah. Satu malam Christmas, tahun berapa aku tidak berapa ingat, Ben telah menyatakan pada aku bahawa Kelvin dan rakan rakan akan datang ke rumahnya pada malam itu untuk Christmas Carol dan dia bagi amaran pada aku supaya jangan keluar bila Kelvin dan gang gangnya ada. Ben tahu Kelvin dan aku kuat berborak, macam macam isu kami ceritakan dan Ben kata Kelvin ini 'minat' dengan aku.

Tapi, malam itu aku terlupa akan 'warning' si Ben ini, entah macam mana, aku dapat merasakan kemeriahan yang sedang berlaku di rumah sebelah! Dan melangkah sahaja aku keluar, Kelvin pun terus memanggil aku dan memperkenalkan pada rakan rakannya yang lain! Beberapa tetamu yang ada terutama yang dah berumur tidak berapa suka akan tindakan Kelvin dan kami semua! Kelvin dan rakan rakan terus datang ke garage rumah ku yang hanya selangkah disebelah rumah Uncle Peter sebaik sahaja habis menyanyi dan kami pun berbual bual . Esoknya (Hari Chrismas) Ben marah pada aku kerana tidak menghiraukan amarannya!

Orang Christian juga ada Night service jika kita ada Qiamullai. Mereka bersembahyang di gereja pada tengah malam Christmas. Ben atau Jo akan mengetuk dinding bilik mengatakan mereka akan pergi..Bila aku kata pada Ben dan Jo mereka anak anak yang baik dan rajin bersembahyang, Ben selalu kata dia ke gereja kerana dia dapat lihat ramai gadis gadis yang lawa lawa!!!

No comments: