Wednesday, July 11, 2007

Abang Zai. (Al Fatihah, Allahyarham pulang ke RahmahtullAllah pada 24-12-1997)

Hidup di awal Tujuh puluhan boleh dikatakan adalah hidup kami 'tiga beranak' , aku, mak dan Abang Zai. Abang Zai masih bujang adalah anak Mak yang ke Empat, usianya yang agak 'lanjut' berbanding dengan orang bujang zaman tu menyebabkan ramai yang tertanya tanya bila dia hendak berkahwin. Aku sendiri tidak berani nak bertanya apa apa dengan dia.

Abang Zai amat prihatin tentang diri aku, menganggap aku benar benar adiknya dan sebahagian dari keluarga mereka. Tidak seorang pun berani mengatakan apa apa mengenai aku jika di hadapan Abang Zai. Pernah satu ketika di rumah Busu Hawa di Johor Baru. Busu Hawa adalah adik Mak atau pun sepatutnya Ibu saudara aku lah. Anak Busu, Kak Faziah dan sepupunya Kak Lang ada tetamu seorang bujang, tidaklah aku ingat siapa dia ini.

Tetamu bujang ini pulang dan tidak minum pun segelas air yang disediakan di atas meja di ruang tamu. Sebagai budak kecil yang belum pun bersekolah, aku pun terus minum air segelas yang ditinggalkan begitu sahaja di hadapan Kak Faziah dan Kak Lang Aishah. Manalah aku tahu, air itu penuh segelas, Kakak berdua pun tidak halang...Abang Zai kebetulan lalu di situ dan nampak aku sedang menghirup air..apa lagi..Mengamuklah dia dengan Kak Faziah dan Kak Lang. Mereka tentu tidak akan melupakan peristiwa ini, aku yakin. Abang Zai marah mengapa mereka membiarkan saja aku minum sisia tetamu yang tidak sangat dikenali itu. Mungkin pada mereka, tidak mengapa aku minum walau pun sisa orang yang tidak dikenali sebab aku tidak ada dihati mereka. Siapalah aku..hanya seorang anak cha ya nun alif pada mereka semua.

Namun, hidup dengan Abang Zai tidaklah mudah. Aku tidak tahu mengapa Abang Zai ini cepat naik darah. Tidak boleh salah sikit apa pun. Semuanya mesti 'Perfect". Dia amat pembersih. Jadi aku terpaksa membuat penyesuaian diri dari hidup dengan Angah dan suaminya serta anak beranaknya Marizan, Nasir, Duan dan Ina kepada hidup ala Abang Zai. Abang Zai pun terpaksa buat penyesuaian dengan hidup dengan Mak dan aku. Maklumlah selama ini dia hidup di Kuarters Bujang, ATM di Markas Garrison Port Dickson, tetapi sekarang sudah 'berumah' dan ada tanggungjawab secara langsung pula terhadap aku dan Mak. Tetapi terhadap akulah mungkin tanggungjawabnya lebih. Sebab anak dara sunti, dan adik yang pertama pernah di bawah jagaannya.

Tetapi aku bersyukur dan sayangkan dia sebagaimana seorang adik menyayangi abangnya. Aku tidak pernah ada bapa, merasa bagaimana ada seorang bapa atau faham implikasinya betapa mustahaknya kita berbapa pada masa itu. Hidup kami bertiga bermula dari Ampangan Seremban setelah Mak dan Abang Ngah bergaduh besar kerana Nasir yang menyebabkan Abang Zai mengambil Mak dan Aku hidup dengannya di PD amat sederhana. Kami gembira walaupun kebanyakan waktunya kami amat ketakutan akan dimarahi Abang Zai. Dan aku tidak pernah merunggut apa apa. Aku rida, bersyukur dapat hidup macam anak anak yang lain.

No comments: