Saturday, July 28, 2007

Hidup Menumpang

Aku selalu terfikir bahawa sejak lahir hidup ini sentiasa menumpang. Menumpang belaian kesian dari seluruh keluarga Mak Angkat, menumpang dengan Ihsan mereka sekeluarga, seluruh keluarga besar mereka, membesar seperti kanak kanak yang lain dengan mengharap dan mengharap agar diri terus dikasihani kalau pun tidak dikasihi.

Sejak kecil aku memang sedar siapa diri ini. Betapa bagaimana kedudukan diri ini pada kaca mata keluarga. Pun aku bangga dengan saudara mara yang ada, walau aku tahu ramai yang tidak berapa suka pada aku. Aku buat buat tak tahu atau tidak simpan lama lama apa apa perasaan negatif atau jika terluka dengan sindiran demi sindiran yang diterima. Memanglah tidak sama layanan mereka dengan yang lain. Bahkan layanan mereka pada Kak Feah dengan aku pun berbeza macam langit dengan bumi!

Kak Feah pun anak angkat Cina macam aku, dia senior dari aku empat tahun. Mula mula Mak angkat akulah yang membela Kak Feah tetapi bila dia sakit, Long Taksiah adik tiri Mak bela dan lama lama sayang pada Feah begitu juga suaminya Haji Yusof. Mereka tidak mahu beri Feah balik pada mak. Begitulah ceritanya. Jadilah dengan rasmi Kak Feah anak angkat Long dan Pak Long. Lepas itu Kak Feah pun dibawa berhijrah ke Jerantut, Pahang. Jadilah dia orang semua orang Pahang.

Aku dilahirkan di Kampung Lobak, Seremban mengikut surat beranak dan sebahagian masa membesar memang di Limbok, Seremban. Berbalik dengan cerita Kak Feah, SEMUA orang. Maksud aku ahli ahli keluarga angkat aku amat sayang pada Feah. Ini kerana, Kak Feah dibela oleh orang Kaya. Haji Yusof orang kaya. Bila Kaya semua orang suka. Macam aku apalah yang ada. Mak aku cuma janda yang ditanggung oleh anak menantunya.

Jadilah Kak Feah ini bahan ukuran pada segala kelemahan aku. Mereka akan berkata "Tengok Feah itu, rajin, baik..Tengok Feah tu..pandai jadi diri..Tengok Feah tu, lawa bajunya...Ialah Feah banyak baju yang baru dan lawa lawa. Ayah angkatnya orang kaya. Aku? Aku, tunggu baju yang sepupu sepupu tak pakai pass pada aku. Jadi memanglah segalanya tidak dapat dibandingkan dengan Feah. Feah pun tahu semua saudara mara suka akan dia. Dia pun kadang kadang sombong jugak dengan aku. Tetapi aku buat deg saja dengan dia. Seolah olah tidak ada apa apa.

Hidup menumpang ni kena pandai ambil hati orang dan pandai pandai bawa diri. Kalau masa semua orang "Good Mood" tak apa kalau berada dalam kolompok mereka ramai ramai. Tapi kalau angin mereka tak baik, awaslah. Nahaslah jawabnya. Kalau kebetulan kau berada atau lalu time mereka angin pus pus, kau lah akan jadi bahan untuk mereka melepaskan geram atau maki hamun. Jadi, kenalah hati hati..

Namun, aku tetap bersyukur. Setidak tidaknya merasa jugalah ada keluarga. Tidaklah membersar di dom dom asrama anak anak Yatim yang pasti tidak pernah rasa apa dia berkeluarga. Sungguh aku simpati pada mereka yang tidak merasa apa dia berkeluarga. Walaupun menumpang, aku bersyukur, aku punyai mereka walaupun mungkin aku tidak pernah mereka punyai...

Sunday, July 15, 2007

Kenagan yang tidak mungkin luput


Membesar sebagai anak angkat amat bergantung tentunya kepada keluarga angkat kita. Dan ini terpulanglah kepada 'nasib' masing masing. Qadak dan Qadar yang telah ditentukan di Luh Mahfuz. Seorang bayi walau dari bangsa apa pun dan agama apa pun ibu bapanya, tidak berdosa, tidak berdaya apa apa, terdedah kepada budi bicara keluarga dan mereka yang bertanggungjawab mengambilnya dari ibu bapa kandungnya.

Sebaik sahaja bertukar tangan dari keluarga asal ke keluarga angkatnya, sudah tentu bayi tidak tahu apa apa sehinggalah sedikit demi sedikit lama kelamaan pengalaman dan peristiwa demi peristiwa akan dengan sendirinya membuat dia sendiri akan merasa ada yang tidak kena. Hal yang berlainan akan berlaku pula pada keluarga keluarga angkat yang ikhlas dan mengambil anak angkat kerana Allah swt. Ada yang kesian atau merasa mahu menyelamatkan bayi dari keluarga dan agama lain ke agama suci Islam. Ini terpulanglah pada nasib masing masing. Dunia sebagai pentas sendiwara dan manusia sebagai pelakun pelakun.

Bagi aku, hidup dengan keluarga angkat ini kenalah pandai jaga diri, ambil hati mereka dan belajar hidup berdikari. Pernah sekecil hanya agak agak lima tahun, aku naik bas seorang diri dari Seremban ke Kuala Pilah. Aku tidak ingat mengapa aku diletakkan seorang seorang naik bas itu tapi aku masih ingat naik bas seorang diri dan tak bayar tambang pun sebab konduktor bas fikir aku anak orang duduk di sebelah aku. Bila aku ingat kembali, aku fikir sendiri.

Kalau anak sekecil itu ia itu berusia 5 tahun anak anak mereka sendiri, darah daging mereka sendiri, pasti mereka tidak akan lepaskan naik bas seorang orang begitu. Pastinya mereka bimbang dengan keselamatan anak anak mereka, bimbang jatuh ke dalam bas, tersalah bas ke, orang bawa lari ke...tapi mereka biarkan aku naik bas sebab kalau apa apa pun berlaku pada aku tidak ada apa apa kesan pada hidup mereka dan mereka tidak akan kerugian apa apa pun. Tetapi kesan positifnya ialah aku jadi manusia berdikari.
Posted by Picasa

Wednesday, July 11, 2007

Abang Zai. (Al Fatihah, Allahyarham pulang ke RahmahtullAllah pada 24-12-1997)

Hidup di awal Tujuh puluhan boleh dikatakan adalah hidup kami 'tiga beranak' , aku, mak dan Abang Zai. Abang Zai masih bujang adalah anak Mak yang ke Empat, usianya yang agak 'lanjut' berbanding dengan orang bujang zaman tu menyebabkan ramai yang tertanya tanya bila dia hendak berkahwin. Aku sendiri tidak berani nak bertanya apa apa dengan dia.

Abang Zai amat prihatin tentang diri aku, menganggap aku benar benar adiknya dan sebahagian dari keluarga mereka. Tidak seorang pun berani mengatakan apa apa mengenai aku jika di hadapan Abang Zai. Pernah satu ketika di rumah Busu Hawa di Johor Baru. Busu Hawa adalah adik Mak atau pun sepatutnya Ibu saudara aku lah. Anak Busu, Kak Faziah dan sepupunya Kak Lang ada tetamu seorang bujang, tidaklah aku ingat siapa dia ini.

Tetamu bujang ini pulang dan tidak minum pun segelas air yang disediakan di atas meja di ruang tamu. Sebagai budak kecil yang belum pun bersekolah, aku pun terus minum air segelas yang ditinggalkan begitu sahaja di hadapan Kak Faziah dan Kak Lang Aishah. Manalah aku tahu, air itu penuh segelas, Kakak berdua pun tidak halang...Abang Zai kebetulan lalu di situ dan nampak aku sedang menghirup air..apa lagi..Mengamuklah dia dengan Kak Faziah dan Kak Lang. Mereka tentu tidak akan melupakan peristiwa ini, aku yakin. Abang Zai marah mengapa mereka membiarkan saja aku minum sisia tetamu yang tidak sangat dikenali itu. Mungkin pada mereka, tidak mengapa aku minum walau pun sisa orang yang tidak dikenali sebab aku tidak ada dihati mereka. Siapalah aku..hanya seorang anak cha ya nun alif pada mereka semua.

Namun, hidup dengan Abang Zai tidaklah mudah. Aku tidak tahu mengapa Abang Zai ini cepat naik darah. Tidak boleh salah sikit apa pun. Semuanya mesti 'Perfect". Dia amat pembersih. Jadi aku terpaksa membuat penyesuaian diri dari hidup dengan Angah dan suaminya serta anak beranaknya Marizan, Nasir, Duan dan Ina kepada hidup ala Abang Zai. Abang Zai pun terpaksa buat penyesuaian dengan hidup dengan Mak dan aku. Maklumlah selama ini dia hidup di Kuarters Bujang, ATM di Markas Garrison Port Dickson, tetapi sekarang sudah 'berumah' dan ada tanggungjawab secara langsung pula terhadap aku dan Mak. Tetapi terhadap akulah mungkin tanggungjawabnya lebih. Sebab anak dara sunti, dan adik yang pertama pernah di bawah jagaannya.

Tetapi aku bersyukur dan sayangkan dia sebagaimana seorang adik menyayangi abangnya. Aku tidak pernah ada bapa, merasa bagaimana ada seorang bapa atau faham implikasinya betapa mustahaknya kita berbapa pada masa itu. Hidup kami bertiga bermula dari Ampangan Seremban setelah Mak dan Abang Ngah bergaduh besar kerana Nasir yang menyebabkan Abang Zai mengambil Mak dan Aku hidup dengannya di PD amat sederhana. Kami gembira walaupun kebanyakan waktunya kami amat ketakutan akan dimarahi Abang Zai. Dan aku tidak pernah merunggut apa apa. Aku rida, bersyukur dapat hidup macam anak anak yang lain.

Wednesday, July 4, 2007

Kak Teh

Jiran jiran Melayu di Eastern Garden sedikit benar, kerana rata rata pada waktu itu orang Melayu tidak ramai yang mampu beli rumah. Abang Zai pun susah payah jugak nak beli rumah itu, dan bila dah dewasa baru aku tahu dia cuba juga pinjam sana sini untuk bayar deposit rumah. Jadi jiran jiran Melayu yang paling dekat dengan Eastern Garden tentulah mereka yang tinggal di Kampung Si Rusa.

Mak memang suka merayau dan kenal ramai orang Melayu yang kebanyakannya suri rumah yang suami mereka asykar, kakitangan kerajaan, buruh yang kebanyakannya menjadi Nelayan bila waktu malam untuk menambah pendapatan mereka menampung keluarga yang ramai. Di antara orang kampung yang rapat dengan kami adalah keluarga Kak Teh dan Abang Sharif. Nama penuh Kak Teh ialah Yang Teh, berasal dari Pasir Panjang. Ayahnya bisu dan agak cacat, berniaga cucur udang di panggung wayang Pasir Panjang. Tidaklah aku ketahui apa pekerjaannya sebelum ini. Ibu Kak Teh telah meninggal dunia semasa Kak Teh dan adik beradiknya masih kecil lagi.

Suami Kak Teh, Abang Sharif seorang pemain bola sepak yang aktif dan bekerja dengan JKR. Tidak pula aku tahu sebagai apa. Mereka suami isteri rapat dengan Mak dan aku, tambah pula bila Abang Zai selalu tiada di rumah. Mereka banyak menolong kami, menemani Mak, dan Mak selalu kerumah mereka yang di sewa dari seorang Ustaz di Kampung Si Rusa. Abang Sharif rajin kelaut 'menjala'. Kadang kadang kami juga dapat rasa ikan ikan dan udang yang segar dari tangkapan.

Aku seronok bila dapat ikut Kak Teh sekali sekali balik kekampungnya di Pasir Panjang. Dapat berjumpa dengan kaum keluarganya. Adik beradik Kak Teh empat orang. Kak Teh yang sulung dan yang perempuan. Yang lain semua lelaki. Abang Zainal dan seorang lagi adik lelakinya yang tidak ku ingat lagi namanya adalah nelayan. Ayem atau pun Khamis Mohd Shah adalah pelajar di Sekolah Tinggi di Melaka pada waktu itu.

Aku tidak pernah berjumpa dengan Ayem, tetapi namanya sahajalah yang selalu dibibir Kak Teh. Dia amat menyayangi adik bongsunya ini yang tinggal dengan Pak Busu mereka di Bukit Katil Melaka. Pak Busu mereka mahu Ayem ada pelajaran sempurna untuk membantu keluarga mereka. Ya, lah sekurang kurangnya Ayem seorang boleh membela Ayah mereka nanti. Pada waktu ini aku berusia 15 tahun, tingkatan dua. Tua setahun kerana bersekolah di kelas peralihan.

Monday, July 2, 2007

Vasanti

Vasanti adalah cucu sulung Uncle dan Aunty Peter. Emak Vasanti adalah Ruby anak sulung the Peters dan tinggal di Miri, Sarawak. Aku ingat lagi betapa lincahnya Vasanti ini, dan kuat. Kadang kadang kalau dia terlalu gembira dengan cerita cerita yang aku ceritakan pada dia, dia akan dukung aku dan aku akan terjerit jerit minta dia lepaskan!!

Bila Vasanti menziarahi rumah The Peters, kadang kadang bila malam bulan mengambang Benjamin, Vasanti dan adiknya Joshua dan aku akan pergi berjalan jalan di tepi pantai yang hanya lima minit dari rumah teres kami. Kalau anak anak jiran yang lain di Eastern Garden seperti Ranjit Singh lihat kami ke tepi laut dia akan sertai kami. Kami akan berbual bual dan aku masih ingat masa itu air surut. Betapa remaja masa dahulu memang innocent dan persahabatan kami jujur dan ikhlas. Kami berkawan dengan tiada motif apa apa, berkawan kerana sebagai kawan.

Cinta abadi

Satu hari Aunty Peter telah jatuh sakit dan dimasukkan ke rumah sakit di Rasah, Seremban. Tiap taip petang Mak dan aku akan ikut Uncle Peter ke hospital untuk menziarahi Aunty. Tidaklah aku ingat apa penyakit Aunty Peter, tapi aku tidak mungkin dalam lupa wajah sedih dan duka Uncle Peter pada waktu itu...

Mak berkata pada aku betapa Uncle Peter amat sayang pada Aunty. Joseph pada waktu ini berada di India melanjutkan pelajaran dalam Theology ditaja oleh pihak Gereja dan bakal menjadi seorang Padri. Ya, kawan baik aku akan menjadi seorang Padri. Benjamin pula pada waktu ini berkerja di Saudi Arabia dengan syarikat kontraktor minyak.

Kami pun tidak tahu apa yang berlaku dalam keluarga Peter pada waktu itu kerana hanya Mak dan aku pada masa itu yang sering melawat Aunty Peter di hospital. Kami akan menghulurkan lauk pauk yang kami masak pada Uncle Peter kerana tiada siapa nak masakkan dia. Kadang kadang nasi pun kami bagi kerana Uncle Peter pun makan sikit sahaja. Dia begitu murung, diam sahaja sepanjang Aunty Peter di hospital tidak ceria dan mulut bising berjenaka dengan kami macam biasa. Inilah Cinta sebenar, Uncle Peter benar benar sayang pada isterinya....

Hidayah

Kenang kenangan aku dengan keluarga Peter yang kuat dengan pegangan agama Christian mereka pada sekitar aku berusia belasan tahun sekitar tahun awal hingga akhir tujuh puluhan membuatkan aku banyak berfikir tentang isu isu murtad yang banyak di perkatakan sekarang.

Sepanjang mengenali mereka tidak se saat pun mereka pernah mengajak aku menjadi seorang Christian. Atau memberi sehelai kertas atau sebaris ayat pun berdakwah tentang agama mereka. Walaupun aku pernah singgah di Gereja mereka secara kebetulan kerana menumpang kereta mereka sama sama ke Seremban. Aku sama sama lihat Christmas Carol mereka, berkawan pula dengan Kelvin dan setiap Christmas pasti kami di ajak makan bersama, kami yakin dan berani makan kerana mereka tak makan babi dan beli ayam dari orang Islam di pasar Port Dickson.

Dan keluarga angkat aku tidak kuat pegangan agama Islam mereka. Mengapa aku perlu berbohong dengan Allah. Mereka telah lama meninggal dunia dan sejarah tidak dapat diubah walau apa pun. Dan semenjak pindah ke Eastern Garden aku tidak mengaji lagi seperti semasa aku di Gedong Lalang. Pertama aku telah Khatam dan kedua aku tidak tahu siapa siapa di Kampung Si Rusa yang boleh mengajar aku mengaji.

Namun aku bersyukur kerana Hidayah Allah swt masih milik aku. Allah swt masih menyayangi aku kerana dalam keadaan terumbang ambing dalam pegangan agama yang lemah dan berkawan terlalu baik pula dengan seluruh keluarga jiran yang pegangan Agama Christian yang kuat, Iman aku yang sedikit pada ketika itu sedikit pun tidak tergugat. Aku bersyukur.
Aku rapat dengan Aunty Peter dan lebih dapat berkomunikasi dengan baik dengan dia dari Mak aku sendiri. Dan Abang Zai tak usah cakaplah, dengan tabiat meradang dia dua puluh empat jam itu!

Jadi secara peribadi aku rasa mereka yang murtad itu adalah juga kerana Allah swt menarik balik Hidayah yang pernah mereka dikurniakan!!! Nauzubillah!!! Berdoalah kita supaya Iman yang Allah beri pada kita tidak di tarik balik dari kita. Kerana ini adalah se malang malang nasib yang boleh menimpa sesiapa pun. Apa guna wang berjuta atau kesenangan di dunia yang sementara ini jika Iman kita tidak lagi milik kita.

Tunggu bila anda 21 tahun..

Satu peristiwa yang tertulis di dalam kami meniti tali persahabatan dan sebagai jiran dengan Uncle dan Aunty Peter ialah semasa aku di tingkatan lima dan ada rakan sedarjah aku yang bernama Jayalailitha yang ingin menukar agamanya dari Hindu ke Christian. Jayalailitha atau nama singkatannya Jaya mengatakan pada aku bahawa dia keliru dengan ajaran agamanya yang terlalu banyak tuhan sebab itulah sudah lama mahu menukar pegangan agamanya.

Satu petang aku pun membawa Jaya berjumpa dengan Uncle Peter. Memang mudah sebab aku tahu sangat rutin Uncle dan Aunty Peter, bila pukul 4.oo ptg mereka duduk minum teh di ruang tamu. Uncle Peter dan Aunty memang baik dan tidak lah menolak atau tidak mahu menerima kedatangan Jaya bersama aku pula. Jaya pun terus menceritakan pada kedua mereka akan hasratnya ingin menukar pegangan agamanya dan amat berharap Uncle dan Aunty Peter dapat menolongnya. Ini memandangkan dari cerita cerita aku bahawa Keluarga Peter ini Christian yang kuat atau alim dalam Agama mereka dan mereka ada ramai kenalan di gereja gereja di Port Dickson atau Seremban.

Dengan tenang Uncle Peter menasihatkan Jaya supaya menunggu sahaja sehingga dia mencapai ke usia 21 tahun sebelum dia membuat keputusan untuk keluar dari agama Hindunya!! Ini kerana mengikut Uncle Peter, di usia melangkah ke 18 tahun, Jaya masih dalam jagaan keluarganya, belum matang, belum ada pendapatan sendiri dan perbuatannya sekarang hanya akan mengundang berbagai masalah peribadi. Jaya akan menghancurkan hati dan harapan ibu bapanya, dan menjadi anak yang derhaka!!

Di dalam hati aku amat terkejut sekali. Dalam usia aku juga pada masa itu melangkah ke 18 tahun aku terlalu mentah dengan soal hidup yang sebenar. Aku silap. Aku sangka tentulah Uncle dan Aunty Peter akan gembira bila Jaya menyatakan hasratnya untuk menukar ke agamanya dan akan terus membawanya ke gereja atau sekurang kurangnya akan membuat dua tiga panggilan telefon kepada kuncu kuncunya!! Betapa aku salah anggap pada mereka.

Uncle dan Aunty Peter adalah ibu bapa yang sebenarnya..dia faham apa erti menjadi ibu bapa dan dapat membayangkan apa akan terjadi jika Jayalailitha terburu buru dalam menukar pegangan agamanya. Memang benar kata kata nasihatnya, Jaya masih dalam penjagaan dan pembiayaan keluarganya, akan hancur lebur hati ibu bapanya dan tentulah Uncle dan Aunty akan terseret dalam kancah ini, silap haribulan aku pun kena!

Jo, Ben dan aku..

Kenangan bersama Joseph dengan Benjamin, atau nama ringkas kami panggil mereka, Jo dan Ben dan seluruh keluarga Peter tidak mungkin terhakis begitu sahaja dari ingatan aku. Mahu tidak mahu, suka atau tidak, mereka merupakan sebahagian dari mereka mereka yang hadir dalam hidup aku semasa remaja sehinggalah aku bertunang dan berhijah ke Kuala Lumpur pada usia yang begitu muda, 19 tahun ...

Bilik aku dan bilik Jo dan Ben bersebelahan, kami ada 'kod' khas kalau nak jumpa di luar rumah. Bukannya apa, kadang kadang kami tidak mahu mengganggu Mak atau Abang Zai yang menonton TV di ruang tamu atau Uncle dan Aunty Peter yang sering duduk duduk mendengar lagu atau berbual bual juga di ruang tamu rumah mereka jika hendak panggil satu sama lain.

Jadi bila kami dengar kod kod tertentu kami tahu apa nak buat. Satu ketukan bermakna Selamat Malam atau Selamat Pagi, jika dua ketukan di dinding bermakna kami akan keluar dan berjumpa di luar tempat letak kereta Uncle Peter dan Abang Zai. Kalau tiga ketukan bermakna ada seseorang di luar dan kami malas nak layan, jadi tolong katakan kami saja kami tak ada di rumah atau apa juga alasan!

Keluarga Peter sangat alim. Mereka telah menganut Kristian Protestant sejak 500 ratus tahun dalam keturunan mereka yang sudah tentu bersusur galur dari Madras, India. Nama penuhnya Paul Peter. Tiap Ahad Uncle dan Aunty Peter pasti akan ke gereja di Jalan Seremban, dekat bandar Port Dickson. Jarang benar mereka tidak pergi. Bila Christmas rumah mereka akan hiruk pikuk dengan begitu ramai anak anak cucu yang balik menziarah dan sudah tentu aku pun turut sibuk sama. Sesuatu yang menarik mengenai mereka ni, yang kami perhatikan ialah mereka tidak makan daging babi atau minum arak.

Disinilah aku belajar banyak cara hidup orang Kristian, sekurang kurangnya dari keluara Uncle dan Aunty Peter, jiran sebelah rumah. Malah kadang kadang jika aku ikut Uncle ke Seremban, (Abang Zai tak ada dan aku malas nak naik Bas Utam Singh yang siksa dan lebih perlahan dari kura kura tua tu), jika dia singgah di Gereja di belakang KGV Seremban, aku pun turun sama dan sempat berkawan dengan salah seorang bakal padri muda, seorang pemuda kacak Cina bernama Kelvin.

Mereka orang Christian ada Christmas Carol di mana mereka akan datang ke rumah rumah dan menyayikan lagu lagu agama mereka beramai ramai. Macam kita bertakbir raya dari rumah ke rumah. Satu malam Christmas, tahun berapa aku tidak berapa ingat, Ben telah menyatakan pada aku bahawa Kelvin dan rakan rakan akan datang ke rumahnya pada malam itu untuk Christmas Carol dan dia bagi amaran pada aku supaya jangan keluar bila Kelvin dan gang gangnya ada. Ben tahu Kelvin dan aku kuat berborak, macam macam isu kami ceritakan dan Ben kata Kelvin ini 'minat' dengan aku.

Tapi, malam itu aku terlupa akan 'warning' si Ben ini, entah macam mana, aku dapat merasakan kemeriahan yang sedang berlaku di rumah sebelah! Dan melangkah sahaja aku keluar, Kelvin pun terus memanggil aku dan memperkenalkan pada rakan rakannya yang lain! Beberapa tetamu yang ada terutama yang dah berumur tidak berapa suka akan tindakan Kelvin dan kami semua! Kelvin dan rakan rakan terus datang ke garage rumah ku yang hanya selangkah disebelah rumah Uncle Peter sebaik sahaja habis menyanyi dan kami pun berbual bual . Esoknya (Hari Chrismas) Ben marah pada aku kerana tidak menghiraukan amarannya!

Orang Christian juga ada Night service jika kita ada Qiamullai. Mereka bersembahyang di gereja pada tengah malam Christmas. Ben atau Jo akan mengetuk dinding bilik mengatakan mereka akan pergi..Bila aku kata pada Ben dan Jo mereka anak anak yang baik dan rajin bersembahyang, Ben selalu kata dia ke gereja kerana dia dapat lihat ramai gadis gadis yang lawa lawa!!!

Sunday, July 1, 2007

Keluarga Peter

Uncle dan Aunty Peter amat berbeza dengan seluruh keluarga Chong. Mereka amat mesra, bertimbang rasa dan mengambil berat tentang kami. Pernah Mak sakit kuat semasa Abang Zai di Sabah dan Uncle Peter telah menghantar Mak ke kelinik dan kemudia ke rumah sakit bila Mak terpaksa dimasukkan ke hospital daerah Port Dickson. Mereka juga tidak lokek kami rasa amat beruntung mendapat jiran yang baik.

Aku dan Joseph serta merta jadi kawan baik. Semasa itu Joseph belajar di tingkatan 6 di Seremban dan teman wanitanya seorang gadis Cina Seremban. Kedua dua Uncle dan Aunty and keluarga Mee Mun tidak suka akan jalinan hubungan ini. Akulah yang jadi mangsa bila mereka hendak bercakap dengan telefon. Bila Joseph hendak bercakap dengan Mee Mun, aku akan telefon rumahnya, keluarga Mee Mun tidak syak apa apa sebab aku perempuan. Bila Mee Mun dah memegang gelanggang telefon barulah aku pass pada Joseph. Begitu juga bila mereka hendak berjumpa, aku jugalah yang sepatutnya berjumpa dengan Mee Mun.

Bila manusia jadi monyet

Satu tabiat keluarga Chong yang tidak sanggup aku tolerate pada waktu itu adalah kegemaran mereka makan 'monyet'. Chong ada ladang di Sunggala Estate di kawasan pendalaman berhutan agak tebal, dia jadikan ladang papaya. Jadi banyak lah monyet monyet yang akan datang memakan hasilnya dan apa lagi, yang tidak bernasib baik akan jadi mangsa senapangnya!!

Satu hari aku ke dapur seperti biasa dan terkejut bukan kepalang bila terlihat seekor monyet yang telah mati tergantung di sebatang dahan dibelakang dapur rumah Chong. Kesian sungguh aku lihat monyet yang dibunuh sebegini dan sudah tidak berbulu lagi! Aku menangis terisak isak.

Aku memang terlalu lembut hati dan benci melihat binatang dianiya.
Dengar khabarnya si Chong ini kadang kadang menjual monyet monyet yang ditembaknya kepada restaurant restaurant Cina yang makan otak dan daging monyet. Ada juga cerita ngeri yang aku dengar tetapi tidak dapat disahkan sebab tidak lihat sendiri iaitu mereka makan otak monyet yang masih hidup!! Nauzubillah....kalau benar mungkin Allah swt tidak mahu aku melihatnya, tak sanggup aku pun..

Satu hari, ada berita tergempar di Eastern Garden!! Chong telah ke ladangnya dan sudah dua hari tidak pulang. Isterinya telah buat laporan Polis dan saudara mara telah berkumpul di rumahnya. Sebagai jiran sebelah rumah kami pun ingin ambil tahu nasib Uncle Chong ini. Petang hari kedua hilangnya dia, kami terima berita baik bahawa Chong telah dijumpai di ladang papayanya dan dihantar ke hospital oleh Polis.

Rupa rupanya buat jahat memang balasannya pun jahat!!! Chong telah ke ladang dengan tujuan membunuh monyet monyet lagi. Lengkap dengan selaras senapang barunya. Ceritanya, setiba di ladangnya seperti biasa dia keluar dari jeepnya untuk mengendap kalau kalau di pokok pokok papayanya ada monyet yang jadi pencuri lagi.

Tetapi kali ini, dia terkejut beruk sebab belum sempat lima enam langkah dari jeepnya, dia dikelilingi oleh berpuluh puluh ekor monyet kalau tidak beratus! Macam macam saiz monyet yang mengelilinginya. Emak monyet, bapak, datuk, nenek, anak monyet dan ada yang paling besar di antara monyet monyet ini di tengah tengah kumpulan monyet ini!! Apa lagi menggeletarlah seluruh badan Chong dan dia tahu senapang barunya pun tidak akan dapat menyelamatkannya kali ini. Mustahil!

Tanpa berlengah dia pun melompat masuk ke dalam jeepnya. Semua monyet monyet datang mengelilingi jeepnya. Mereka tidak berganjak, ada yang di atas atap jeep, di hadapan dan belakang jeep, tidak bergerak sambil berbunyi bunyi yang betul betul menakutkan Chong. Peluh yang mericik ricik keluar dari seluruh tubuhnya, ditambah dengan udara terbatas dalam jeep yang terkunci membuatkan Chong pengsan. Begitulah cerita Chong pada kami...Yang peliknya kata Chong sedar sedar dia sudah ada di hospital dan nasibnya baik kerana masih hidup walaupun pengsan satu setengah hari dan jeep yang tidak terbuka tingkap untuk udara keluar masuk! Maka legalah seluruh keluarga Chong kerana Chong Selamat.

Tidak dapatlah aku ceritakan betapa riangnya aku akan tragegi yang menimpa Chong ini. Aku PASTI inilah balasan Allah swt kepada orang yang kejam pada makhluknya. Bukan aku busuk hati tapi mereka memang kejam perlakukan begini pada monyet monyet yang dibunuhnya. Dan sejak itu tidak lagi aku dikejutkan dengan monyet monyet yang terbunuh dan tergantung di belakang rumah jiran sebelah.

Kegembiraan Chong tidak kekal rupa rupanya. Aku sendiri sangka episode Chong dan monyet ini tamat di sini. Chong mula mengalami perubahan physical yang ketara. Badannya mula membengkok, bila berjalan dia akan agak terkangkang, badannya mula berbulu, di kedua belah tangan dan kaki!! Mukanya mula agak cengkong dan dia benar benar berubah perlahan lahan menyerupai monyet!!!

Masih jelas terbayang di mata bagaimana dia berjalan perlahan lahan dan memang semua orang tahu dalam hati mereka bahawa dia kena sumpahan monyet!! SubhanaAllah, jika tidak kenal Chong, mengetahui cerita benar ini dan melihatnya dengan mata kepala sendiri memang susah hendak percaya bahawa dosa pada binatang memang amat cepat dapat balasan dari Allah swt. Janganlah menganiya sesiapa pun walaupun haiwan, takutlah pada Allah swt dan balasan balasannya pada apa pun bentuk penganiyaan dan kekejaman!!

Berbalik pada Chong, mereka telah berpindah ke Kuala Lumpur untuk mencari ubat untuknya. Dengar khabar tidak lama lepas itu dia meninggal dunia. Jiran baru yang beli rumah Chong adalah keluarga India. Mr. dan Mrs. Paul Peter. Bermulanya keluarga Paul sebagai jiran kami pada tahun 1972. Mereka ada 13 orang anak yang kebanyakannya telah berumah tangga pada masa itu melainkan Joseph 17 dan Benjamin 15.

Eastern Garden

Jiran kami di Eastern Garden rata rata orang Cina. Cik Sauh adalah bekas Bidan di Hospital Tentera, Garrison Port Dickson. Dia dan suaminya bekas guru besar sekolah Cina dan kedua dua anak angkat perempuan mereka jiran kami di sebelah kanan. Pada masa itu Cik Sauh (kami tak tahu nama Cinanya yang sebenar) baru pencen, Swee Lan mungkin dua atau tiga tahun muda dari aku dan Mary masih di sekolah rendah.

Jiran di sebelah kanan rumah pula adalah bekas ASP Polis, namanya Chong. Isteri Chong anak seorang taukeh kaya di Kuala Lumpur. Pasangan ini ada tiga orang anak anak, Micheal, Margaret dan Roberta. Mereka ini nakal nakal belaka berbeza dengan Swee Lan dan Mary. Mereka sentiasa ada membela anjing. Anjing yang masih aku ingat ialah seekor German Shepherd yang selalu di bawa bersama bila Chong ke ladangnya di Sunggala Estate.

Cik Sauh fasih bercakap Melayu, macam air. Maklumlah bekerja dengan asykar asykar Melayu dan keluarga mereka. Family biasalah. Suaminya pekak dan bila malam malam masa aku nak buat kerja rumah atau mengulang kaji masa itu lah mereka bertekak! Dan bayangkanlah jika suami isteri bertekak dan seorang pekak pulak! Bising ya amat!! Terpekik pekik tengah tengah malam dan kadang kadang Cik Sauh akan mula goreng mee!!! Dinding batu rumah yang membahagi rumah kami tidak dapat menapis bunyi bising lebih lebih lagi tengah malam dan bau mee goreng yang menusuk batang hidung waktu waktu sebegini!!!!!!!

Mrs. Mahendran.

Perubahan terbesar dalam hidup remaja aku sudah tentulah alam persekolahan. Dari sekolah rendah aliran Melayu dengan seratus peratus kawan kawan dan guru guru berbangsa Melayu aku tiba tiba terdedah dengan kawan kawan dan guru guru dari semua bangsa.

Peristiwa yang tidak mungkin dapat aku padamkan dari ingatan di zaman persekolahan permulaan di kelas peralihan atau remove class ialah guru kesayangan aku Mrs. Mahendran. Mrs. Mahendran terus melantik aku sebagai ketua darjah walaupun aku masuk kelas tiga bulan lewat dari murid muridnya yang lain. Dia juga sayang pada aku kerana mungkin aku rajin dan murid terbaik bagi Mrs Mahendran berbanding dengan murid murid lain yang kebanyakkannya berbangsa India dari estate estate sekeliling Port Dickson pada masa itu.

Satu hari Mrs. Mahendran meminta aku datang kerumahnya kerana akan mengadakan jamuan hari jadi pertama anaknya. Aku datang awal pagi ke rumahnya yang terletak bersebelahan Sekolah aku iaitu kawasan perubahan kakitangan pegawai pegawai Lembaga Letrik Negara atau sekarang TNB. Suami Mrs. Mahenran adalah seorang jurutera dengan LLN pada masa itu.

Saudara mara Mr. dan Mrs. Mahendran mula datang ke jamuan hari jadi anak kecil ini. Sudah tentulah aku sahaja seorang Melayu di situ dan terus membuat apa sahaja yang Mrs. Mehendran atau ibunya yang tua suruh. Aku memang sayang pada guru aku ini. Sayang Ikhlas seorang murid pada gurunya. Bukan datang menolong dia kerana hendak kan upah atau apa apa pun.

Disebalik keriuhan saudara mara Mrs. Mahendran ini, Tiba tiba aku terdengar dan terasa ada yang tak kena. Saudara mara Mr. dan Mrs. Mahendran, ada yang datang dari sejauh Cameron Highlands mula memandang pada aku 'semacam' sambil mengata sesuatu dalam bahasa tamil. Mrs. Mahendran pula tidak kelihatan kerana pada masa ini majlis telah bermula dan dia sibuk melayan tetamu dari berbilang bangsa yang ramai dengan anak anak mereka yang berkeliaran di halaman rumah.

Aku di tarik ke dalam se buah bilik di rumah banglo ini. Aku keliru walau pun tidak sedikit pun ada rasa takut kerana aku tidak buat salah apa pun. Kemudian salah seorang saudara perempuannya bertanya sama ada aku ada 'mengambil' atau 'terambil' seutas rantai emas milik salah seorang dari mereka!!! Aku benar benar terkejut dan tidak menyangka sampai begini sekali aku tertuduh! Dari pagi aku telah menolong Mrs. Mahendran dan tiba tiba bila mereka baru sejam dua datang aku telah dituduh sebagai pencuri!! Aku sedih sekali.

Aku terus mengatakan bahawa aku tidak buat seperti apa yang mereka sangka. Tidak puas hati salah seorang dari saudara perempuannya membawa aku di dalam bilik mandi dan terus menyuruh aku membuka baju dan kemudian seluar panjang aku! Dia hanya puas hati bila melihat memang tidak ada apa yang tersuruk dalam baju dalam atau seluar dalam aku!

Keluar dari bilik mandi aku terduduk di sebuah kerusi di ruang tamu kerana terlalu terkejut dengan tuduhan saudara mara Mrs. atau Mrs. Mahendran pada diriku. Aku menunggu dengan sabar supaya Mrs. Mahendran akan masuk kedalam setelah tetamu seorang demi seorang beredar pulang. Kawan kawan Mrs. Mahendran memang amat gembira meraikan harijadi pertama anak Mrs. Mahendran kerana baru ini dapat anak setelah berkawin lebih sepuluh tahun!

Mrs. Mahendran dan suaminya amat terkejut dengan apa yang berlaku pada diriku dan terus memarahi saudara maranya! Dia menyatakan kepada mereka bahawa aku adalah murid kesayangannya dan bukanlah seorang pencuri!! Dia amat mengenali aku dan aku telah dari pagi lagi ada dirumah untuk menolongnya berbanding dengan mereka yang datang bila waktu untuk makan sahaja!!

Mrs. Mahendran berkali kali memohon maaf pada aku tentang apa yang berlaku. Mr. Mahendran pula mengeleng gelengkan kepalanya beberapa kali sambil berkata sesuatu dalam bahasa tamil dengan saudara maranya. Aku pula macam kena pukau tidak tahu apa hendak kata. Aku terkejut, sedih dan malu diperbuat begini oleh saudara mara mereka. Namun itu bukan salah mereka. Mr dan Mrs. Mahendran tidak tahu aku diperbuat begini! Mrs. Mahendran mahu aku sama sama meraikan harijadi anak kesayangannya. Petang itu Mrs. Mahendran sendiri menghantar aku pulang ke Eastern Garden dengan bekalan kek dan buah buahan.

Malam itu Mak tanya mengapa aku diam sahaja dan tidak seperti biasa. Aku terus ceritakan pada Mak dan tanpa aku sedari, air mata aku bercucuran. Rupa rupanya perasaanku memang tertekan dan tidak dapat aku bendung lagi. Teringat aku kata kata saudara perempuan Mrs. Mahendran bagaimana dia hendak memanggil pihak polis jika aku tidak mahu mengaku mencuri rantai emas itu. Mak amat marah dan mahu ke sekolah esoknya hendak berjumpa Mrs. Mahendran. Aku kata tak payahlah sebab Mrs. Mahendran tidak tahu menahu dan tidak terlibat langsung dengan perbuatan saudara mara perempuannya itu.

Esoknya di Sekolah, sekali lagi Mrs. Mehendran memohon maaf pada ku. Dia memberitahu bagaimana rantai emas yang hilang itu telah dijumpai dan sebenarnya memang dicuri oleh salah seorang orang gaji saudara perempuannya yang mengikut mereka ke majlis semalam!! Aku senyum saja dan tidak berkata apa apa.

Namun setelah peristiwa ini entah mengapa hubungan kami tidak seerat seperti dahulu lagi. Aku sendiri pun tidak tahu mengapa tetapi terasa macam tawar sahaja. Beberapa bulan kemudian Mrs. Mahendran telah ditukar ke Cameron Highlands. Aku masih ingat lagi lambaian terakhir Mrs. Mahendran pada ku dari keretanya semasa aku berjalan ke perhentian bas di hadapan sekolah untuk pulang ke rumah. Sambil tersenyum aku membalas lambaiannya...