Thursday, August 23, 2007

Lagu lama

Lagu lama, lagu P Ramlee benar benar mengusik jiwa sesiapa sahaja yang seangkatan yang melalui zaman zaman sewaktu... Terjahan terjahan kenangan menjelma satu persatu di ingatan .. Sedih, memikirkan mereka mereka yang kita kenali suatu masa dahulu telah tidak lagi bersama kita, sayu kerana tidak sempat mengatakan pada mereka betapa mereka begitu bermakna dalam hidup kita tidak sempat mengucapkan terima kasih atas segala budi baik mereka

..rindu pada tempat tempat yang pernah kaki kita jejaki tetapi terpaksa kita tinggalkan entah mengapa...dada terasa seakan ada bekas tajam yang menusuk di kalbu, ingat dan perasaan yang sama seolah olah kembali di tempat yang suatu waktu pernah kita lewati.

Namun siapalah kita??Kita semua sama sahaja...hakikatnya penghuni sementara di dunia yang dijamin Allah akan fana, tidak kekal. Di dunia yang tidak kekal yang penuh dengan penghuni dan penumpang yang berlabuh sementara diizinkan penciptanya..

buat baiklah, sesama kita, sungguh , segala yang ada cuma sementara...begitulah lagu lama, kesannya pada jiwa jiwa ini..

Wednesday, August 22, 2007

Angah

Peristiwa aku berlari mendapatkan Angah yang baru pulang dari mengajar di Sekolah Cina Jalan Templer Seremban ketika usia aku belum pun dua tahun masih segar diingatan seolah olah terlekat kemas di kotak ingatan yang tak munkin dipadam. Aku katakan usia aku belum pun dua tahun sebab masa itu Angah belum berumahtangga dan jarak usia aku dengan Izan hanya dua setengah tahun! Aku lahir 10.9.57 dan Izan lahir 13.7.60.

Ingatan yang terpahat ini jugalah yang mungkin menyelamatkan ikatan 'adik beradik' kami selama ini. Ikatan adik beradik yang memang rapuh ini sentiasa dilanda badai dengan ribuan dugaan sejak aku ingat lagi. Angah memang perempuan yang baik, ibu dan isteri yang begitu prihatin kepada keluarganya. Dia rajin dan membuat sendiri segala pekerjaan rumahtangganya dari A ke Z kerana keadaan ekonomi suami yang sempit memanjang.

Aku tidak mungkin mahu membohongi diri ini betapa dalam kesempitan ekonomi keluarga Angah yang tidak menentu, pada ketika aku bersekolah di tingkatan tiga pernah aku merenggek mahu memiliki Kamus Bahasa Malaysia Tenku Iskandar DBP dan Angah menghulurkan padaku dua keping wang kertas berwarna merah yang membuat aku melonjak kegembiraan dan terus ke kedai buku untuk membeli kamus itu. Oleh kerana berpindah randah, tidaklah aku ketahui nasib kamus ini hingga sekarang.

Wang dua puluh ringgit mungkin tidak bermakna pada kebanyakan orang tetapi pada Angah waktu tu amat besar dan berharga sekali. Dengan anak anak lima lima orang yang sedang membesar, memang mereka sentiasa sahaja kesempitan wang. Aku faham, tetapi sikap dia yang suka sepit sepit duit untuk kegunaan keluarganya amat aku hargai.

Angah tidak minta yang bukan bukan dari suami, tidak juga Intan dan Berlian. Rumah tangga mereka banyak pergolakan demi pergolakan, aku masih ingat. Rumah tangga mana tidak berombak tetapi kesian Angah yang bukan sahaja hidup susah dalam kewangan tetapi juga perangai suami yang tidak baik dan kadang kadang tidak bertanggungjawab. Nasib orang perempuan semuanya sama sahaja. Walau siapa pun, bangsa dan agama apa pun.

Baru baru ini aku bawa Fuad melawat Angah. Seminggu sebelum dia bertolak ke USA. Aku lihat Angah terlantar sendirian di atas katil besi bilik hadapan. Dia menangis melihat aku, betapa telah lama aku tidak menziarahi dia. Dulu katanya aku selalu talifon sebelum atau sesudah sampai di rumah dari luar negara. Aku kata aku sibuk dan lagi pun tahu Angah macam biasa dari Izan.

Angah sekarang telah uzur. Usia tujuh puluh tahun. Langkahnya pun tidak sekuat dulu. SEMUA kerja rumah dibuat oleh suaminya. Mungkin masa Angah berehat dan suami pula merasa bagaimana kerja rumah yang sepatutnya dibuat. Angah sepi, Izan juga jarang menjengoknya.